Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) adalah gangguan hormon yang kerap berlaku dalam kalangan wanita yang berada di usia reproduktif. PCOS boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang, terutama berkaitan kitaran haid, kesuburan, dan perubahan hormon. Artikel ini akan membincangkan beberapa aspek penting mengenai PCOS, termasuk tanda-tanda PCOS, faktor risiko, serta cara-cara untuk menguruskan keadaan ini.
Apakah Itu PCOS?
PCOS ialah satu keadaan di mana ovari wanita menghasilkan lebih banyak hormon lelaki (androgen) daripada yang sepatutnya. Hormon androgen yang berlebihan ini boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan, termasuk pembentukan sista kecil pada ovari yang dikenali sebagai sista folikel.
Selain itu, ketidakseimbangan hormon ini juga boleh mengganggu proses ovulasi, menyebabkan kitaran haid yang tidak teratur atau tidak berlaku langsung. PCOS juga boleh menjejaskan metabolisme badan, mengakibatkan kesukaran untuk menurunkan berat badan, dan dalam sesetengah kes, boleh menyebabkan masalah kesuburan bagi wanita yang cuba untuk hamil.
Gejala dan Tanda-tanda PCOS
- Kitaran haid tidak teratur:
Haid yang tidak tetap atau jarang berlaku akibat gangguan ovulasi. - Hirsutisme:
Pertumbuhan rambut yang berlebihan di muka, dada, dan bahagian badan lain akibat tahap androgen yang tinggi. - Jerawat dan kulit berminyak:
Ketidakseimbangan hormon menyebabkan jerawat yang sukar diatasi dan kulit menjadi berminyak. - Kenaikan berat badan:
Kesukaran menurunkan berat badan atau peningkatan berat badan yang berlebihan. - Rambut gugur:
Kehilangan rambut yang ketara atau kebotakan di bahagian tertentu. - Acanthosis nigricans:
Kegelapan kulit di kawasan tertentu seperti leher, ketiak, atau pangkal paha. - Keletihan:
Rasa penat yang berterusan walaupun dengan rehat yang mencukupi. - Masalah kesuburan:
Kesukaran untuk hamil akibat ovulasi yang tidak teratur atau tidak berlaku langsung. - Gangguan mood:
Kebimbangan dan kemurungan sering dialami akibat ketidakseimbangan hormon dan cabaran fizikal yang dihadapi.
Komplikasi PCOS
- Diabetes jenis 2: PCOS meningkatkan risiko diabetes disebabkan oleh rintangan insulin yang tinggi. Selain itu, obesiti juga boleh memperburuk risiko ini dengan meningkatkan beban insulin pada tubuh.
- Penyakit jantung koronari: Risiko meningkat disebabkan oleh tahap kolesterol yang tidak seimbang, tekanan darah tinggi, serta faktor seperti berat badan berlebihan, paras gula darah yang tinggi, dan sindrom metabolik. Semua faktor ini boleh menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit jantung koronari.
- Fibroid: Wanita dengan PCOS lebih berisiko untuk mengalami fibroid akibat ketidakseimbangan hormon, terutamanya estrogen dan progesteron. Pembentukan fibroid juga boleh menyebabkan haid berlebihan dan anemia.
- Kanser rahim: Ketidakseimbangan hormon, terutama estrogen dan progesteron, boleh menyebabkan penebalan lapisan rahim (hiperplasia endometrium). Ini sering menyebabkan haid yang berlebihan dan meningkatkan risiko kanser rahim.
- Apnea tidur: Gangguan tidur seperti apnea tidur lebih kerap berlaku dalam kalangan mereka yang mengalami PCOS. Sindrom metabolik dan berat badan berlebihan yang sering dikaitkan dengan PCOS boleh meningkatkan risiko apnea tidur serta tekanan darah tinggi.
Oleh itu, rawatan awal adalah penting untuk mengelakkan terjadinya komplikasi tersebut..
Diagnosis PCOS
Untuk mendiagnosis PCOS, doktor biasanya akan melakukan:
- Ujian darah untuk hormon: Mengukur tahap hormon seperti androgen, estrogen, LH, dan FSH. Ujian ini membantu menilai ketidakseimbangan hormon yang mendasari dan menyokong proses diagnosis PCOS.
- Ujian darah untuk parameter metabolik: Memeriksa tahap gula dalam darah dan profil lipid untuk melihat risiko diabetes dan penyakit jantung. Wanita dengan PCOS sering mengalami sindrom metabolik, yang menyebabkan paras gula darah dan kolesterol yang tinggi. Pemeriksaan ini dapat mengenal pasti masalah lebih awal dan membantu dalam pengurusan yang berkesan.
- Pengukuran berat badan dan lilitan pinggang: Lilitan pinggang adalah petunjuk yang baik untuk sindrom metabolik dan rintangan insulin. Pengukuran ini membantu menentukan risiko kesihatan yang berkaitan dengan obesiti, seperti diabetes dan penyakit jantung.
- Ultrabunyi pelvis: Menilai keadaan ovari dan rahim, mengukur ketebalan lapisan rahim, serta mengenal pasti sista dan fibroid.
- Pemeriksaan fizikal: Pemeriksaan fizikal melibatkan penilaian tanda-tanda PCOS dengan hirsutisme, seperti kehilangan rambut di kepala dan pertumbuhan rambut yang berlebihan pada badan, terutama di kawasan dagu, philtrum, dan bahagian badan lain.
Diagnosis awal membantu dalam merangka pelan rawatan yang sesuai.
Rawatan untuk PCOS
Rawatan PCOS bergantung kepada gejala yang dihadapi oleh pesakit dan keperluan individu. Rawatan mungkin merangkumi:
- Pil perancang kombinasi: Mengandungi estrogen dan progestin untuk membantu mengawal kitaran haid dan mengurangkan tahap androgen.
- Pemeka insulin (insulin sensitizer): Seperti metformin, digunakan untuk mengurangkan rintangan insulin dan membantu mengawal gula dalam darah.
- Penurunan berat badan: Menurunkan berat badan boleh membantu mengurangkan gejala PCOS dan meningkatkan kesuburan.
- Senaman: Aktiviti fizikal yang konsisten membantu mengurangkan rintangan insulin dan meningkatkan kesihatan keseluruhan.
- Diet sihat: Mengamalkan diet rendah gula dan karbohidrat dapat membantu mengawal tahap insulin dan hormon.
- IVF (In Vitro Fertilization): Rawatan kesuburan untuk mereka yang sukar hamil secara semula jadi.
- Ubat untuk merangsang ovulasi: Seperti clomiphene atau letrozole, digunakan untuk membantu wanita dengan PCOS ovulasi dan meningkatkan peluang kehamilan.